1. Titik Permulaan Pengembaraan Rohani

Pada usia 23 tahun, saya telah pun melengkapi empat fasa kehidupan sebagai seorang wanita biasa: bersekolah, bekerja, berkahwin, dan memiliki cahaya mata. Kehidupan saya berjalan dengan tenang dan damai. Ketika anak saya berusia 10 bulan, saya masih ingat, hari itu sehari sebelum Perayaan Pertengahan Musim Luruh, saya membeli beberapa bungkus setanggi cendana dan sedikit buah-buahan untuk dihantar kepada ibu bapa saya. Keturunan kami sememangnya penganut Buddha, namun menjelang generasi ibu bapa saya, hanya tinggal sebuah patung porselin Bodhisattva Guanyin di rumah.

Amalan keagamaan mereka hanyalah menyajikan buah-buahan serta menyalakan sebatang setanggi di hadapan patung Guanyin pada hari pertama dan kelimabelas bulan lunar sebagai tanda hormat, di samping mengamalkan pemakanan vegetarian pada kebanyakan masa, itu sahaja. Justeru, pemahaman saya tentang agama Buddha ketika itu hanyalah terbatas kepada patung Buddha, kuil, para sami, dan amalan berpuasa vegetarian. Walaupun anak saya sudah berusia 10 bulan, kesihatan saya amat merosot kerana kurang penjagaan semasa tempoh berpantang.

Perjalanan dari rumah saya ke kediaman ibu hanya mengambil masa 15 minit, namun saya berjalan dalam keadaan kepala berat dan kaki terasa ringan, seolah-olah memijak kapas. Sedang berjalan begitu, tiba-tiba kaki saya terpijak sebuah buku tua yang lusuh. Bagai tergerak oleh suatu kuasa ghaib, saya bongkok lalu memungutnya. Buku itu sudah hilang kulit hadapan dan belakangnya.

Apabila saya menyelak lembarannya secara rambang, empat baris ayat terus meniti di mata saya:

“Aku pada asalnya datang ke tanah ini, menyebarkan Dharma untuk menyelamatkan insan yang keliru; sekuntum bunga mekar menjadi lima kelopak, buahnya terhasil dengan sendirinya.”

Membaca ayat-ayat ini, hati saya tiba-tiba terkejut. Pada masa yang sama, satu dentuman guruh tiba-tiba membelah langit, menyebabkan tangan saya terketar-ketar lalu buku itu terlepas ke tanah…

Saya terpaku seketika sebelum kembali sedar semula. Saya mendongak memandang langit cerah yang tiada awan, kemudian memungut semula buku itu dan membaca keempat-baris ayat tersebut berulang kali. Saya tidak tahu apa maksudnya, malah tidak tahu dari mana datangnya dentuman guruh tadi?! Saya benar-benar hairan dan bingung. Sambil merenung buku lusuh yang kotor di tangan, saya tidak faham mengapa saya memungutnya tadi, lalu segera membuangnya ke dalam tong sampah.

Peristiwa itu berlalu sekian lama. Pada suatu hari, sewaktu berkunjung ke rumah adik lelaki saya, kami berborak secara kebetulan tentang kejadian tersebut. Anehnya, empat baris ayatitu seolah-olah dipahat kemas dalam ingatan saya. Setelah mendengar, adik saya berfikir sejenak lalu berkata, “Ini ialah sebuah gatha yang ditulis oleh Patriark Bodhidharma. Saya pun tidak faham mengapa kamu berasa begitu terkesan dengan gatha ini, mungkin ikatan batin kamu dengan Buddha amat mendalam. Kebetulan beberapa hari lalu saya membeli beberapa buah buku agama Buddha, boleh kamu bawa balik untuk dibaca.

Selepas itu dia menyerahkan dua buah buku karya Tuan Nan Huai-Chin, iaitu “Bagaimana Mengamalkan dan Membuktikan Dharma” serta “Apakah yang Disampaikan oleh Sutra Intan”. Walaupun saya tidak begitu berminat, saya tetap mengambilnya untuk disemak sekilas. Buku itu cepat sahaja habis dibaca, tetapi saya membacanya dengan pemahaman yang samar-samar. Sungguhpun begitu, saya membacanya dengan teliti dan amat tertarik dengan kisah-kisah Zen serta teladan keagamaan di dalamnya.

Pada suatu hari, setelah anak saya tidur, saya tiba-tiba berasa ingin tahu untuk mencuba bermeditasi, maka saya cuba duduk mengikut panduan yang tertera dalam buku tersebut. Tanpa disangka-sangka, duduk bermeditasi itu adalah yang mengubah matlamat hidup dan cara hidup saya bermula dari saat itu selamanya.

Leave a Comment